Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan Argentina sebagai tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) pada 20 Mei sehingga 11 Jun bagi menggantikan tempat Indonesia.

Ia juga bermakna hasrat skuad Indonesia B-20 untuk beraksi di Piala Dunia tidak jadi kenyataan kerana tempat mereka diambil alih oleh Argentina yang gagal layak secara merit.

“FIFA gembira mengumumkan edisi Piala Dunia B-20 akan berlangsung di Argentina selepas juara dunia membuka pintunya kepada bintang bola sepak dunia masa hadapan,” kata Presiden FIFA, Gianni Infantino dalam satu kenyataan.

FIFA menarik balik hak penganjuran daripada Indonesia bulan lalu selepas tercetus bantahan ke atas penyertaan Israel di kejohanan itu.

Indonesia dan Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik serta memberikan sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin.

Ia bermula apabila beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di Indonesia menolak kehadiran skuad B-20 tahun Israel dimana mereka menjadikan isu kemanusiaan dan keamanan seperti kezaliman regim Israel ke atas Palestine sebagai faktor utama.

Malah, undian rasmi tidak dapat dijalankan di Bali kerana bantahan daripada Gabenor wilayah itu.

Argentina menawarkan diri untuk menjadi pengganti dan Fifa melakukan lawatan dan pemeriksaan ke atas fasiliti di negara itu minggu lalu.

Undian bakal berlangsung pada Jumaat ini di Zurich. Beberapa jam sebelum pengumuman Fifa, kerajaan Argentina menegaskan sokongan penuh kepada bidaan tuan rumah oleh Persekutuan Bolasepak Argentina (AFA) walaupun negara terbabit berdepan masalah ekonomi.

Juara dunia Argentina adalah pasukan paling banyak menjuarai Piala Dunia B-20 sebanyak enam kali.

Argentina juga mempunyai pengalaman menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20 iaitu pada tahun 2001. Ketika itu, mereka diperkuatkan oleh beberapa pemain muda berbakat besar seperti Javier Saviola dan Maxi Rodriguz serta berjaya menjadi juara selepas menewaskan Ghana di final.